PUTRAJAYA: Laporan penuh siasatan tragedi pesawat Malaysia Airlines MH370 akan dibentangkan kepada ahli keluarga dan waris mangsa serta masyarakat umum pada 30 Julai ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata laporan penuh itu juga akan dibentangkan kepada ahli parlimen di Dewan Rakyat pada 31 Julai.

“Kabinet Rabu lalu meluluskan permohonan saya untuk bentang laporan MH370 kepada keluarga mangsa dan umum. Ketika ini keluarga dan waris mangsa sudah dihubungi bagi menghadiri taklimat tertutup pembentangan itu pada pagi 30 Julai.

“Pembentangan akan dilakukan oleh Ketua Penyiasat Pasukan Penyiasatan Keselamatan Lampiran 13 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Malaysia bagi MH370, Datuk Kok Soo Chon dan beliau akan memberikan sidang media pada sebelah petang selepas pembentangan itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, laporan berkenaan akan dibentangkan sepenuhnya tanpa ada sebarang maklumat disembunyi atau penolakan sebarang ayat dalam laporan itu.

“Kita juga akan buat cetakan 1,000 naskhah laporan itu dengan keluarga dan waris mangsa akan diberikan satu set laporan berserta lampiran data.

“Media yang hadir bagi sidang media juga akan diberikan satu set laporan selain laporan sama turut diberikan kepada semua kedutaan asing di negara ini.

“Bagi masyarakat umum laporan boleh diakses menerusi laman web kementerian pada hari sama selepas taklimat kepada keluarga dan waris mangsa,” katanya.

Pesawat MH370 hilang sejak 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 298 penumpang dan anak kapal serta siasatan mendapati pesawat itu berakhir di dasar Lautan Hindi.

Advertisements