KUALA LUMPUR: Pemimpin UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii, dikecam hebat kerana tergamak mengeluarkan kenyataan tidak sensitif terhadap kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balakong, Ng Tien Chee.

Mohd Razlan memuat naik status di akaun Twitter miliknya pada pagi tadi memberi gambaran seolah-olah beliau bersyukur dengan kematian ahli DAP itu.

“Matinya seorang yang suka fitnah dan hati busuk kepada Rakyat Malaysia! Kurang lagi kaki fitnah! Aman Malaysia! RIP,” katanya.

Beliau yang menggunakan nama ‘Cik Petir’ di akaun Twitter berkata beliau tidak menyangka Mohd Razlan akan bertindak sedemikian tanpa memikirkan perasaan ahli keluarga mangsa.

“Mulut jahat eh kau ni Razlan? Rilek sikit boleh tak? Apa beza kau dengan orang yang kutuk bapa aku meninggal hari itu?

“Kau tahu apa aku rasa masa dapat berita ini? Berkecai hati aku orang kata bapa aku. Kau tak fikir ke perasaan famili si mati itu?,” katanya.

Mangsa, Tien Chee atau dikenali sebagai Eddie Ng, 40, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghadiri satu majlis makan malam di ibu negara.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, turut memberi respon terhadap status terbabit dengan memberi teguran kepada Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh.

“Orang Melayu tak dididik untuk menghina mangsa kemalangan. Dia ada keluarga, ada maruah yang perlu dijaga.

“Kalau ini lah UMNO baru, memang jauh sekali dari peradaban Melayu. Budi bahasa budaya kita,” katanya menerusi Twitter.

Selain itu pemimpin seperjuangan UMNO, Zaidel Baharuddin turut tidak bersetuju dengan kenyataan Mohd Razlan yang bersikap kurang ajar.

“Saya bantah sikap kurang ajar dan dangkal ini, Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk punyai akhlak seperti ini, memperlekeh, menghina mendiang dan keluarganya.

“Ini antara sebab mengapa rakyat benci UMNO, sikap bongkak dan enggan mohon maaf ini harus ditolak @razlanrafii,” katanya.

Sementara itu, pelbagai komen netizen yang turut menasihati Mohd Razlan untuk memadam status terbabit namun tanpa rasa bersalah beliau mempertahankan tindakannya.

Pengguna Twitter, @bauk_selat berkata “Apapun agama atau bangsa seseorang itu, di pengakhiran hidup tak perlu nak bangkitkan hal-hal macam ni.

“Yang pergi tetap pergi. Yang hidup jaga perangai elok-elok, jangan malukan bangsa & agama sendiri dengan sikap macam ni,” katanya.

Pengguna Twitter, @iamnurulislam22 berkata “Walaupun benar dia sebegitu, i think this is not the right time utk sebut begitu. (Saya rasa ini bukan waktu yang sesuai untuk sebut sebegitu)

“My opinion better padam tweet ini (Bagi pandangan saya lebih baik padan status tweet ini),” katanya.

Pengguna Twitter, @sofhanazerieDZ berkata”Kena contohi saudara yb @Khairykj bila nak buat kenyataan . Bak kata yb kj jadilah pembangkang berwibawa, ” katanya.

Pengguna Twitter @NurhanizaNordin berkata “Semua tegur sini, tak ada pun nak diambil pengajaran. Hebat tuan.

“Tak boleh bayang kalau tuan yang jadi pemimpin satu hari nanti. Adakah diktator? Hanya cakap tuan je yg betul?

“Adakah jahat perlu dibalas jahat di saat akhir kematian? Atau dimaafkan untuk kita selamat di akhirat?,” katanya.

Advertisements