Beliau berkata undang-undang terbaru tersebut menjunjung konsep ketuanan Yahudi dan menindas hak-hak minoriti terutamanya bangsa Arab.

“Identiti penduduk Arab termasuk bahasa mereka telah diketepikan dan dinafikan melalui proses perundangan yang bersifat perkauman. Bahasa Arab yang sebelum ini diiktiraf oleh undang-undang sebagai bahasa rasmi kini telah diturunkan taraf.

“Kaum minoriti yang selama ini telahpun dilayan sebagai rakyat kelas kedua kini akan terus dipinggirkan dengan lebih teruk lagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, media antarabangsa melaporkan Knesset meluluskan rang undang-undang kontroversi yang mentakrifkan negara itu sebagai negara Yahudi secara eksklusif.

Ia diluluskan selepas sesi tegang di Parlimen yang berlangsung selama lebih lapan jam menyaksikan 62 menyokong manakala 55 menolak.

Lim, yang juga Menteri Kewangan, berkata undang-undang tersebut secara unilateral mengisytiharkan “seluruh kota Baitulmuqqadis” sebagai ibu kota negara Israel.

Tindakan itu, katanya, bukan sahaja bercanggah dengan segala konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa yang mengiktiraf negara Palestin, malah melanggar prinsip keamanan dan kemanusiaan dalam mengembalikan kestabilan di rantau tersebut.

“DAP yang selama ini berpegang kepada prinsip kebebasan, kesaksamaan dan persaudaraan akan tetap menentang segala bentuk kezaliman dan perkauman tidak kira di Malaysia atau di mana-mana sahaja di dunia,” katanya.

Justeru, beliau menyeru masyarakat antarabangsa untuk bersatu memberi tekanan kepada Israel supaya memansuhkan undang-undang zalim dan bersifat perkauman tersebut serta memberi layanan yang saksama kepada kaum minoriti di negara itu.

Advertisements