PORT DICKSON: Tular kononnya berlaku serangan ulat bulu laut di pantai daerah ini sejak beberapa hari lalu, boleh menjejaskan industri pelancongan di pantai peranginan negara itu.

Perkongsian di laman sosial Facebook dan WhatsApp itu mendakwa seorang lelaki mengalami penyakit kulit teruk selepas terkena ulat bulu laut ketika mengunjungi pantai Port Dickson.

Bagaimanapun, Jabatan Perikanan negeri dalam satu kenyataan semalam mengesahkan tiada kes berkaitan serangan ulat bulu dilaporkan kerana tiada bukti mengenai kejadian itu.

Katanya, dia merasakan ramai percaya bahkan turut berkongsi berita itu walaupun tidak mengetahui sejauh mana kesahihannya.

“Perbuatan berkongsi perkara yang tidak pasti menerusi media sosial tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan masyarakat.

“Tindakan itu juga boleh menyebabkan industri pelancongan di daerah ini terjejas kerana orang ramai takut berkunjung dan mandi di kawasan pantai di sini,” katanya.

Selain itu katanya, perbuatan itu bukan saja menyebabkan masyarakat ketakutan, peniaga di pusat peranginan di sini turut terjejas kerana kekurangan pengunjung.

“Namun kita harap masyarakat tidak mempercayai berita itu dengan sewenang-wenangnya. Bahkan media arus perdana sudah membuat pengesahan dengan mendapatkan makluman daripada pihak berkaitan berhubung perkara ini,” katanya.

Sementara itu, pengunjung dari Sungai Buloh, Selangor, Mohd Isa Maasap, 49, berkata, dia tidak mengetahui mengenai tular serangan ulat bulu laut itu.

“Walaupun sudah disahkan perkara ini tidak benar, tetapi saya dan keluarga mengambil langkah berhati-hati ketika mandi laut,” katanya.

Katanya, banyak punca yang boleh menyebabkan penyakit kulit dan alahan terhadap air laut juga boleh menjadi punca penyakit itu terjadi.

Oleh itu katanya, penting untuk lebih berhati-hati ketika mandi laut tidak kira sama ada kerana tular mengenai ulat bulu laut itu atau sebaliknya.

Bagaimanapun, tinjauan di sekitar Pantai Bagan Pinang di sini mendapati ramai pengunjung mandi di kawasan itu sekali gus menolak dakwaan wujudnya ulat bulu laut di kawasan itu.

Advertisements