BENTONG: Terdapat kemungkinan MCA akan menggunakan logo parti itu pada pilihan raya kecil (PRK) Balakong.

Presiden parti, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, parti tersebut mungkin menggunakan logonya berbanding logo Barisan Nasional (BN) untuk PRK itu.

“Kita akan mengadakan mesyuarat untuk memutuskan perkara ini dan memilih calon bagi kerusi berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini, selepas merasmikan bangunan baharu di perkuburan Leung Kwong Yee San pada Ahad.

Pada Jumaat, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, MCA akan memilih calon untuk mengisi kekosongan kerusi itu.

“Kita tahu tugas itu sukar. Tidak mudah untuk memenangi kerusi ini tetapi sebagai parti politik, kita mempunyai tanggungjawab untuk menyemak dan mengimbangi Kerajaan.

“Kita berharap rakyat dapat memberi sokongan kepada kita untuk memenuhi janji kepada rakyat,” kata Tiong Lai.

Kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong di Selangor berikutan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan itu, Eddie Ng meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

Secara tradisinya, ia merupakan kerusi MCA tetapi menjadi kubu kuat DAP sejak 2008.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Eddie Ng mengekalkan kerusi DUN Balakong untuk penggal kedua selepas menewaskan calon BN dan PAS dengan majoriti 35,538 undi.

 

Advertisements