MUAR: Mahkamah Majistret Tangkak hari ini melanjutkan perintah reman selama tiga hari ke atas seorang wanita berhubung kes kematian bayi lelaki berusia 10 bulan yang mengalami kecederaan parah di kepala dipercayai selepas terjatuh dari buaian di rumah pengasuhnya, di sini.

Majistret Norina Maludin mengeluarkan perintah reman itu bermula esok sehingga 25 Julai ini selepas membenarkan permohonan polis melanjutkan tempoh tahanan tersebut.

Pengasuh berusia 35 tahun itu sebelum ini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001.

Wanita itu dikatakan baru dua minggu menjaga bayi malang, Naufal Amsyar Nabil Fikri.

Wanita itu terdahulu dibawa ke pekarangan Mahkamah Majistret Tangkak sekitar 9.15 pagi dengan memakai pakaian lokap polis berwarna ungu dan bertudung hitam sebelum dibawa keluar kira-kira dua jam kemudian.

Selasa lalu, bayi malang terbabit dimasukkan ke HPSF setelah dirujuk daripada Hospital Tangkak apabila pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam di dahi kiri, pendarahan mata selain retak tempurung kepala yang serius.

Selepas empat hari menerima rawatan, Naufal Amsyar menghembuskan nafs terakhir sekitar 9 pagi semalam.

Bayi itu dipercayai terjatuh daripada buaian sebanyak dua kali sebelum ini ketika berada di rumah pengasuh di Taman Sialang, Tangkak.

Advertisements