KUALA LUMPUR: Keutamaan perlu diberi terhadap usaha menambah baik tempat tarikan pelancongan agar pelancong berminat untuk mengunjunginya, kata Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, pada Sabtu.

Menurut beliau, tiada gunanya berbelanja untuk mengadakan promosi pelancongan sekiranya tiada aktiviti menarik yang boleh dilakukan pelancong di tempat berkenaan.

“Keutamaan kami sekarang ialah menambah baik aset negara terlebih dahulu kerana sesetengahnya kini berada dalam keadaan uzur,” kata beliau pada sidang media bagi mengumumkan pertunjukan George Town Festival (GTF) tahun ini.

GTF, yang akan diadakan di George Town, Pulau Pinang dari 4 Ogos hingga 2 Sept ini, membuka tirainya dengan acara bertajuk ‘Kelantan: A Living Heritage’, yang akan diisi dengan lebih 100 persembahan serta pertunjukan seni visual untuk pengunjung.

Katanya, festival itu terus merupakan antara festival paling berprestij di Asia dan menghidangkan beratus acara tempatan dan antarabangsa selama sebulan.

“Lebih 70 peratus daripada acara yang akan dianjurkan itu tidak mengenakan sebarang bayaran kepada pengunjung.

“Memandangkan festival itu kini menjadi platform bagi mengetengahkan seni tempatan dan antarabangsa, saya percaya ia akan memperkukuhkan lagi usaha memelihara, memulihara dan melindungi seni, budaya dan warisan negara,” katanya.

Pertunjukan pembukan itu akan menampilkan drama tari tradisional dikenali sebagai Mak Yong, gendang tradisional Rebana Ubi, Dikir Barat dan Wayang Kulit.

Pertunjukan itu dianjurkan dengan kerjasama ASK Dance Academy, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan Jabatan kebudayaan dan Kesenian (JKKN).

Pengarah festival itu, Joe Sidek menggalakkan ibu bapa membawa anak masing-masing ke pertunjukan GTF bagi menyemai sikap menghargai seni dan budaya dalam kalangan generasi muda.

Advertisements