KOTA KINABALU: Sebuah kapal dagang yang berlabuh tanpa kebenaran di perairan berhampiran Pulau Sepanggar di sini, ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Jumaat lalu.

Kapal dagang yang didaftarkan di Panama itu tidak membawa sebarang muatan, namun difahamkan dalam perjalanan dari Brunei ke Indonesia dan berlabuh di perairan Pulau Sepanggar pada jam 10 pagi.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz, berkata kapal dagang membawa seramai 16 kru warga China dan tiga warga Myanmar itu ditahan pada jam 6 petang hari sama ia berlabuh.

“Hasil pemeriksaan mendapati, kapal itu disyaki melakukan kesalahan bersauh tanpa kebenaran pihak pelabuhan,” katanya dalam kenyataan media, di sini, malam tadi.

Adam berkata, kapal dagang itu kemudian diiring masuk ke kawasan kuarantin di pelabuhan terbabit sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana berlabuh di luar batas pelabuhan tanpa kebenaran dan jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000 atau dipenjarakan tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Advertisements