KUALA LUMPUR – Perkhidmatan di 353 Klinik Komuniti di seluruh negara akan dipertingkatkan, termasuk menyediakan lebih doktor, farmasi serta khidmat rawatan kesihatan kepada rakyat, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata kerajaan percaya dengan penambahbaikan itu, penyampaian perkhidmatan rawatan kesihatan akan dapat diakses dengan lebih baik, khususnya oleh masyarakat di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Kita akan pertingkatkan kerana kita boleh jadikan Klinik Komuniti itu dikendalikan pihak doktor untuk memberikan kemudahan sampai ke kawasan luar bandar.

“Ini adalah peningkatan dari segi penyampaian sistem khidmat kesihatan kepada golongan B40, luar bandar dan pedalaman,” katanya bagi menjawab soalan tambahan Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) mengenai usaha kerajaan dalam memberi akses kemudahan kesihatan di kawasan luar bandar dan pedalaman yang tidak mempunyai klinik swasta pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Klinik Komuniti, sebelum ini dikenali sebagai Klinik 1Malaysia, diperkenalkan kerajaan terdahulu.

Terdahulu, semasa menjawab soalan asal Kesavan A/L Subramaniam (PH-Sg Siput) mengenai perkembangan terkini Skim Peduli Sihat Nasional, Dzulkefly berkata Kementerian Kesihatan sedang membuat penilaian mendalam bagi pelaksanaan skim perlindungan kesihatan kerana melibatkan pelbagai faktor.

“Ini termasuklah aspek seperti pakej perlindungan kesihatan, pangkalan data kumpulan sasaran, pembangunan sistem, pemetaan pembekal perkhidmatan kesihatan, dan semestinya implikasi kewangan kepada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata walaupun kerajaan menangguh sementara beberapa janji 100 hari, termasuk Skim Peduli Sihat Nasional, Kementerian Kesihatan tetap komited untuk meneruskan usaha melaksanakan skim perlindungan kesihatan secara berfasa. 

Advertisements