MAKKAH – Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia tiba di Makkah dari Madinah kira-kira 1 pagi waktu tempatan (6 pagi waktu Malaysia) dan menerima sambutan meriah daripada petugas Tabung Haji (TH) di sini.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Salleh Syed Abdul Rahman berkata kumpulan jemaah yang tiba berpakaian ihram itu kemudiannya dibawa menunaikan umrah pada 6 pagi, selepas berehat seketika di bilik masing-masing.

“Alhamdulillah, seramai 478 jemaah haji daripada kumpulan pertama ini selamat tiba di Makkah menaiki 11 bas yang bertolak dari Madinah kira-kira 6 petang waktu tempatan.

“Kebiasaannya, waktu perjalanan dari Madinah ke Makkah mengambil masa empat hingga lima jam, namun setelah mengambil kira waktu berhenti rehat di kawasan RnR (rehat dan rawat) untuk makan dan bersolat, masa perjalanan boleh menjangkau hingga tujuh jam,” katanya yang ditemui semasa majlis sambutan jemaah haji KT01 di Maktab 74 di sini, hari ini.

Bagi perjalanan kumpulan pertama itu, beliau berkata jemaah mengambil masa kira-kira satu jam setengah untuk berhenti makan dan solat maghrib serta isyak di RnR yang ditetapkan pihak TH.

“Kita telah arahkan petugas terlibat untuk memeriksa setiap RnR di sepanjang lebuh raya dari Madinah ke Makkah dan memilih RnR yang terbaik dari segi kemudahan tempat makan serta kebersihan tandas,” katanya lagi.

Mengenai sambutan ketibaan jemaah haji di Makkah oleh petugas haji di sini, Syed Salled berkata ia bergantung kepada cara dan perancangan pengurus maktab masing-masing.

“Mungkin caranya (sambutan) berbeza, tetapi insya-Allah jemaah-jemaah haji kita akan disambut dengan baik oleh pengurus dan petugas di kesemua maktab apabila mereka tiba kelak,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata terdapat seorang jemaah haji yang dibawa lebih awal ke Makkah berikutan masalah kesihatan, bagaimanapun jemaah tersebut terus dibawa ke hospital dengan menaiki ambulans bagi mendapatkan rawatan.

Setakat hari ini, beliau berkata sebanyak 20 penerbangan catar haji Malaysia telah selamat mendarat di Arab Saudi, membawa hampir 10,000 jemaah haji dari tanah air.

Kumpulan jemaah haji Malaysia yang terakhir dijadualkan tiba di Jeddah pada 15 Ogos.

Advertisements