SEOUL: Seorang pembuat dasar terkenal Korea Selatan yang disiasat berhubung skandal rasuah dilaporkan membunuh diri, kata polis hari ini.

Roh Hoe-chan, seorang pembuat dasar tiga penggal daripada Parti Keadilan disiasat atas dakwaan menerima 50 juta won (RM179,967.91) daripada seorang blogger politik berpengaruh dikaitkan dengan ramai ahli politik atasan.

Blogger itu, dikenali meluas dengan nama gelaran dalam talian ‘Druking,’ ketika ini dibicarakan kerana menggunakan program menggodam haram untuk mengalih pendapat umum ke atas Naver, portal dalam talian terkenal Korea Selatan.

‘Druking’ dituduh secara palsu meningkatkan jumlah maklum balas positif, bersamaan fungsi ‘Like’ Facebook, terhadap puluhan ribu komen dalam talian di Naver yang menyerang atau menyokong ahli politik atau parti politik dalam cubaan memperoleh bantuan peribadi.

Dalam satu nota bunuh diri ditinggalkan di pangsapuri miliknya di sini, Hoe-chan mengaku menerima wang daripada blogger itu, namun menafikan menawarkan sebarang bantuan sebagai balasan, lapor agensi Yonhap.

Beliau dijangka dipanggil tidak lama lagi oleh pendakwa raya untuk disoal.

Polis berkata, Hoe-chan ditemui mati di pintu pagar bangunan pangsapuri sama dan jelas dia bertindak melompat dari kediamannya.

Hoe-chan adalah seorang aktivis terkenal hak asasi buruh sebelum menjadi pembuat dasar pada 2004. Rumah Biru Presiden mengucapkan takziah berhubung insiden menyedihkan itu. 

Advertisements