KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor tidak membeli barang kemas yang kini menjadi subjek utama dalam kes saman syarikat pemborong dari Lubnan, sebaliknya ia dihantar untuk dipilih kerana beliau adalah isteri Perdana Menteri ketika itu.

Menurut kenyataan firma guaman Tetuan Geethan Ram yang mewakili Rosmah, 44 barang kemas yang dihantar syarikat Global Royalty Trading SAL adalah atas kemahuan syarikat itu sendiri tanpa sebarang kewajipan daripada Rosmah untuk membuat pembelian.

Menurutnya, anak guamnya tidak membeli barangan kemas berkenaan dan sehubungan itu hak pemilikan sah barangan berkenaan tidak pernah berpindah kepada anak guamnya.

“Anak guam kami menyatakan, saman dikemukakan Global Royalty melanggar peruntukan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUA),” menurut kenyataan itu.

Perkara itu dinyatakan dalam pembelaan Rosmah terhadap saman dikemukakan Global Royalty bagi menuntut supaya barangan itu dipulangkan atau membayar harga barangan kemas berkenaan berjumlah AS$14.79 juta.

Menurut firma guaman itu, ia memfailkan pernyataan pembelaan itu hari ini seperti diarahkan oleh Mahkamah Tinggi.

“Dengan itu kami menyatakan kes saman itu adalah secara jelasnya remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah dan tuntutan plaintif supaya anak guam kami membayar wang barangan kemas itu juga tidak mempunyai sebarang asas perundangan.

“Berdasarkan alasan itu, anak guam kami akan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman berkenaan dalam dalam masa terdekat,” menurut kenyataan itu.

Global Royalty yang berpangkalan di Beirut, memfailkan saman itu pada 26 Jun lalu dengan mendakwa Rosmah sebagai pelanggan tetapnya dalam keadaan tertentu ada meminjam beberapa barang kemas dan memulangkan semula.

Plaintif mendakwa, seperti kebiasaan mereka akan menyerahkan secara konsainan barang kemas terhadap defendan mengikut permintaan dan dibuat penilaian serta dipilih sebelum dibeli oleh Rosmah.

Advertisements