KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos mengaku di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, bahawa beliau melakukan provokasi bagi mengagalkan perhimpunan BERSIH 5.0 pada November 2016.

Jamal berkata demikian ketika memberi keterangan di dalam kes saman yang dikemukakan oleh bekas pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah (kini Ahli Parlimen Petaling Jaya) terhadap Jamal kerana mengaitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan dengan militan Daesh.

Menurutnya, kebanyakkan kenyataan yang dibuat hanyalah bersandarkan andaian dan tidak berniat jahat.

“(Merujuk kepada kenyataan Jamal) Ini perumpamaan kerana Maria menganggap dirinya NGO yang bebas daripada mana-mana politik tetapi apabila perhimpunan diadakan, orang politik yang berada di hadapan.

“(Merujuk kepada perbuatan membuang surat saman oleh Maria ke dalam mangkuk tandas) Saya berbuat demikian kerana ia bukan daripada BERSIH dan kenyataan saya sebelum ini hanya kepada pertubuhan itu dan bukan Maria,” katanya ketika menjawab soalan peguamnya Mohamed Nasser Yusof.

Terdahulu menjawab soalan peguam N Surendran, Jamal mengakui tidak mempunyai bukti yang mendakwa suami Maria iaitu arwah Yunus Ali yang juga ahli kumpulan komando Petubuhan Pembebasan Palestin (PLO), terbabit dengan organiasi pengganas.

Jamal bagaimanapun berkata tidak pasti apabila ditanya berhubung dakwaan terhadap pembabitan Yunus di dalam rampasan kapal terbang, pengeboman atau peristiwa Munich 1972.

“Saya tidak pasti, pengetahuan yang saya dapat adalah daripada media sosial.

“Saya tidak membawa sebarang bukti untuk menyokong dakwaan itu kerana tidak terlintas untuk menyimpan apa yang dibaca,” katanya.

Menjawab soalan Surendran, Jamal mendakwa beliau tidak mengetahui siapa pengerusi BERSIH ketika itu kerana mendakwa Maria sering bersama Datuk S Ambiga.

“Saya hanya kenal Maria melalui media sosial dan tidak tidak mengenali secara peribadi.

“Saya hanya mendapat pengetahuan daripada media sosial bahawa terdapat kebarangkalian perhimpunan yang diadakan itu akan melarat sehingga mengepung lapangan terbang dan tempat strategik yang lain. Nasib baik buat provokasi hanya sedikit yang datang,” katanya.

Ketika memberi keterangan, Hakim Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab beberapa kali menegur Jamal supaya tidak menyamakan perbicaraan mahkamah seperti kedai kopi apabila gagal mengemukakan bukti dan rujukan bagi menyokong dakwaannya.

Maria memfailkan saman pada 7 Oktober 2016, menamakan Jamal yang juga Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan Melayu dan Gerakan Merah Malaysia (GMM), selaku defendan.

Dalam writ saman dan pernyataan tuntutan, Maria berkata, Jamal mengeluarkan kata-kata fitnah terhadapnya pada sidang media di perkarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 28 September lalu dan ia diterbit serta disiarkan beberapa portal berita, media cetak dan elektronik.

Katanya, defendan sekali lagi mengeluarkan kata-kata fitnah terhadapnya pada 4 Oktober lalu di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Bukit Aman dan diterbitkan di media cetak dan elektronik pada 5 Oktober tahun sama.

Advertisements