KUALA LUMPUR – Tindakan kerajaan terdahulu menyenarai hitam peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang gagal membuat pembayaran balik dianggap tidak adil, kata Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching.

Beliau berkata disebabkan itu kerajaan Pakatan Harapan, semasa Pilihan Raya Umum ke-14, menetapkan dalam janji manifesto untuk mengeluarkan peminjam terbabit daripada senarai hitam Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen).

“Pertamanya, kenapa kita masuk janji (untuk keluarkan peminjam PTPTN daripada senarai hitam) ini dalam manifesto PH, kerana ‘freedom of movement’ adalah hak asasi manusia.

“Kedua, kalau lihat seseorang yang ada hutang dengan bank, nama mereka tidak akan terus masuk senarai hitam Jabatan Imigresen apabila mereka henti buat bayaran atau pembayaran tak konsisten. Sebaliknya, nama mereka hanya akan disenarai hitam apabila mereka jadi seorang bankrap,” katanya dalam sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Dr Azman Ismail (PH-Kuala Kedah) yang ingin tahu mengapa keizinan peminjam PTPTN untuk bebas ke luar negara itu menjadi kriteria penting kepada kerajaan Pakatan Harapan.

Teo berkata keputusan untuk menyenarai hitam peminjam yang bankrap hanya dapat diputuskan setelah kerajaan selesai melakukan kajian semula mengenai tabung pinjaman pendidikan itu.

Sebelum ini, PTPTN mengesahkan 429,945 peminjam telah bebas daripada disenarai hitam Imigresen dan boleh ke luar negara sejak awal Jun lepas.

Proses menyenarai putih itu dilaksanakan secara berperingkat bermula 24 Mei hingga 8 Jun lepas, membolehkan mereka layak ke luar negara, memperbaharui pasport dan membuat pasport baharu tanpa sekatan Imigresen.

Advertisements