KUCHING: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sarawak membuat tangkapan ke atas lima individu termasuk dua Penolong Pengarah Kanan Biro Tatanegara (BTN) kerana disyaki membuat tuntutan palsu melibatkan wang berjumlah kira-kira RM600,000, hari ini.
Pengarah SPRM Sarawak, Razim Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan memberitahu, kelima-lima suspek ditangkap  bagi membantu siasatan awal mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

“Pihak SPRM Sarawak kini dalam proses mendapatkan dokumen berhubung pembayaran yang dibuat itu.”

Katanya, kesemua suspek iaitu tiga lelaki dan dua wanita yang berusia antara 34 hingga 55 tahun itu ditahan kira-kira pada jam 4.30 petang ini di Pejabat SPRM Sarawak ketika hadir untuk memberi keterangan.

Tiga daripada individu terbabit pernah berkhidmat di BTN Sarawak namun kini telah berpindah ke jabatan lain serta bersara.

Mereka dipercayai bersubahat dengan 43 buah syarikat di seluruh Sarawak dengan mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu bag membuat tuntutan pembayaran kerja.

Jumlah tuntutan bagi satu-satu kerja bernilai antara RM2,000 hingga RM6,000.

Kesemua pembayaran telah dibuat ke beberapa akaun pemilik syarikat pada  2016 dan mereka dipercayai mengambil keuntungan daripada setiap syarikat yang pilih oleh mereka.

Siasatan SPRM juga mendapati kira-kira 70 peratus perkhidmatan atau pembekalan  dilakukan syarikat terbabit kepada pihak BTN tidak wujud atau tidak dilaksanakan dalam tempoh tersebut.

Difahamkan, kelima-lima suspek mempunyai kawalan ke atas akaun BTN menggunakan wang tersebut untuk tujuan peribadi.

Kesemua suspek dijangka direman di Mahkamah Majistret Kuching esok.

Advertisements