KUALA LUMPUR: PKR memecat Ketua Cabang Pasir Salak Noor Azwan Ramli kerana melanggar tatatertib dan disiplin parti semasa Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.

Selain itu, parti berkenaan juga mengambil tindakan menggantung keanggotaan enam lagi sementara seorang diberi amaran keras atas kesalahan sama.

“Keputusan ini dibuat dalam mesyuarat Biro Politik pada 10 Julai lalu yang dipengerusikan Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan dihadiri anggota-anggota Biro Politik yang lain,” kata Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil dalam kenyataan, di sini malam ini.

Beliau berkata mereka yang digantung keanggotaan selama dua tahun ialah lima ketua cabang iaitu Audanan Talib (Tapah), Id Azalan Shah Banyamin (Lenggong), Mejar Kaha Othman (Gerik), Kapten (B) Usaili Alias (Parit) dan Mohd Khair Mohd Zainal (Kuala Kangsar).

Turut digantung keanggotaan selama dua tahun ialah anggota Angkatan Muda Pulau Pinang Shamugam Marimuthu manakala Ketua Cabang Padang Rengas Alias Ibrahim diberi amaran keras.

“Berikutan keputusan ini, semua nama yang berkenaan tidak dibenarkan terlibat dalam aktiviti parti pada semua peringkat,” kata Fahmi.

Bagaimanapun beliau berkata kesemua mereka boleh membuat rayuan kepada Majlis Pimpinan Pusat dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan tersebut menurut Fasal 42 Perlembagaan parti.

Advertisements