KUALA LUMPUR : Kerajaan Pakatan Harapan tidak berminat untuk melihat kembali isu penyelewengan National Feedlot Corporation (NFC), sebaliknya ia mahu memastikan objektif asal dicapai, iaitu memastikan bekalan daging tempatan mencapai tahap 30 peratus.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub berkata, kerajaan perlu terus memandang ke hadapan, serta melakukan langkah konstruktif bagi memastikan negara ini tidak akan mengalami penyusutan bekalan, apatah lagi di saat penganut beragama Islam akan menyambut Aidiladha.

“Saya rasa kerajaan baharu Pakatan Harapan, tidak berminat untuk bawa naratif lama. Biar lama jadi kenangan yang baik jadikan tauladan, tak baik jadi sempadan.

“Saya setuju kita pergi dengan langkah yang lebih konstruktif untuk kita pastikan bekalan daging tempatan capai 30 peratus. Kalau ungkap balik NFC, tak akan pergi ke mana mana…apa di hadapan kita, kena bangunkan dengan tanggungjawab,” katanya sewaktu di Sidang Dewan Rakyat hari ini.

Salahuddin berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Nurul Izzah Anuar (PKR-Permatang Pauh) yang ingin mengetahui rasional kerajaan dalam menyambung semula NFC walaupun ia telah mewujudkan persepsi negatif di pandangan masyarakat.

Terdahulu, menjawab soalan dari Dr Hasan Bahrom (AMANAH-Tampin), Salahuddin berkata bekalan lembu dan kambing termasuk biri-biri bagi persiapan menjelang Aidiladha dijamin mencukupi.

Beliau berkata, berdasarkan statistik pengeluaran, sebanyak 50,125 ekor lembu dan 31,079 ekor kambing termasuk biri-biri telah disediakan.

Dan ini, tambahnya lagi, melebihi permintaan dalam negara iaitu sebanyak 44,673 ekor lembu dan 22,130 ekor kambing termasuk biri-biri.

“Saya beri jaminan bekalan kita cuku…jangan bimbang dan Kementerian Pertanian serta Kementeria Pengguna akan memastikan tiada pihak ambil kesempatan, termasuk cubaan memanipulasi harga,” jelasnya lagi.

Advertisements