KUALA LUMPUR – Projek Jalur Lebar Pinggir Bandar yang akan memberi manfaat liputan internet berkelajuan tinggi kepada rakyat tidak terjejas walaupun kerajaan berdepan pelbagai kekangan termasuk kewangan akibat jumlah hutang negara, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Beliau berkata matlamat menyediakan kemudahan jalur lebar sehingga 20 megabait (MB) di kawasan pinggir bandar seluruh negara tetap akan dilaksanakan bagi merapatkan jurang digital di antara bandar dan luar bandar kerana kerajaan mempunyai dana yang mencukupi bagi tujuan itu.

Katanya soal bagaimana hendak membina dan menaik taraf jaringan telekomunikasi dan jalur lebar di kawasan terbabit sedangkan kerajaan berdepan hutang dan isu kewangan tidak harus timbul.

“Kerajaan mempunyai Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP). Syarikat-syarikat telekomunikasi yang menyalurkan sebahagian keuntungan atau dana mereka ke dalam satu tabung (USP) dan ia digunakan bagi program-program dan projek penyambungan jalur lebar di luar bandar. Jadi dana itu ada,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Gobind menjawab soalan tambahan Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik) berkenaan perancangan pihak Kementerian dalam membaik pulih jaringan telekomunikasi kawasan luar bandar agar ia seimbang dengan kawasan bandar.

Kepada soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) berkenaan tindakan Telekom Malaysia (TM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menarik diri daripada projek pembangunan implementasi pelan fiber, Gobind berkata keputusan itu juga tidak menjejaskan usaha kerajaan dalam menyediakan sambungan internet ke seluruh negara termasuk mempertingkat jalur lebar berkelajuan tinggi.

Sehingga Mac 2018, sebanyak 379,246 sambungan jalur lebar telah tersedia sepenuhnya manakala 114,620 sambungan masih di peringkat pelaksanaan.

Di bawah inisiatif perluasan liputan selular dan jalur lebar mudah alih yang melibatkan pembinaan menara telekomunikasi baharu, sebanyak 1,749 buah menara telah siap dibina dan beroperasi.

Selain itu, 286 menara sedang dalam peringkat pelaksanaan di kawasan luar bandar seluruh negara, manakala sebanyak 4,700 buah menara telah dinaik taraf kepada perkhidmatan 3G atau 4G dan 865 menara sedia ada masih dalam peringkat penaiktarafan.

Advertisements