KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook semalam mengumumkan perkhidmatan Komuter Ekspres Seremban – Kuala Lumpur akan beroperasi semula pada 25 Julai ini.

Kali terakhir perkhidmatan itu beroperasi pada Disember 20014 dan antara tujuan ia beroperasi semula untuk menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam khususnya mereka yang bekerja di ibu kota tetapi menetap di Seremban.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan tambang perjalanan yang ditetapkan adalah sebanyak RM8.70 dari stesen Seremban ke Stesen KL Sentral.

Manakala, tambang bagi perjalanan dari Stesen Nilai ke Stesen KL Sentral sebanyak RM7 dan dari Stesen Nilai ke Stesen Seremban sebanyak RM3.60.

“Perkhidmatan Komuter Ekspres Seremban – Kuala Lumpur masih menggunakan tren enam gerabak yang boleh memuatkan 1,118 penumpang (328 duduk dan 790 berdiri).

“Jarak perjalanan dari Stesen Seremban ke Stesen KL Sentral sejauh 72 kilometer hanya mengambil masa 71 minit untuk tiba ke destinasi,” kata kenyataan itu.

Menurut KTMB, pada peringkat awal, perkhidmatan itu akan beroperasi dari hari Isnin hingga Jumaat dengan dua perkhidmatan sehari iaitu sebelah pagi dan sebelah petang.

Jelas KTMB, perjalanan sebelah pagi bermula dari Stesen Seremban pada pukul 7.08 pagi dan tiba di Stesen Nilai pada pukul 7.26 pagi sebelum meneruskan perjalanan ke Stesen KL Sentral dan dijangka tiba pada pukul 8.19 pagi.

“Pada sebelah petang pula, perkhidmatan ini bermula di Stesen KL Sentral pada pukul 5.55 petang, tiba di Stesen Nilai pada pukul 6.51 petang dan dijangka tiba di Stesen Seremban pada pukul 7.10 malam.

“Tiada perkhidmatan komuter ekspres pada hujung minggu dan cuti umum,” kata kenyataan itu.

Advertisements