KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong membidas mengenai insiden tidak cukup korum di Parlimen, dengan mengatakan bahawa Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) hanya lewat selama enam minit.

Beliau berkata, ramai ahli Parlimen perlu menghadiri mesyuarat di luar Parlimen selepas pukul 2.30 petang Selasa (24 Julai), termasuk beliau yang mengadakan pertemuan dengan Majlis Peguam.

“Apabila loceng itu dibunyikan untuk kali kedua pada pukul 2.36 petang, kami sudah cukup korum.

“Tidak ada masalah di sini, menurut penyata rasmi parlimen, kita hanya lewat antara empat hingga enam minit,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen pada Rabu.

Dewan Rakyat terpaksa ditangguhkan sementara pada Selasa kerana tidak cukup korum.

Walaupun kelewatan itu hanya berlangsung beberapa minit, ia telah dikongsi secara meluas di media sosial.

Segelintir mereka kecewa dengan insiden itu, dan ada yang menerimanya kerana beberapa Ahli Parlimen sangat sibuk dengan tanggungjawab lain, termasuk tugas mereka di kementerian.

Vui Keong berkata, beliau akan memaklumkan perkara itu kepada ketua whip parlimen masing-masing.

“Kami akan menghantar nama kepada ketua whip untuk memastikan ada jadual yang sepatutnya bagi ahli Parlimen untuk berada di Dewan Rakyat,” katanya.

Ditanya sekiranya terdapat usaha untuk mengurangkan elaun ahli Parlimen yang gagal menghadiri sesi Parlimen, beliau berkata, ia hanya akan dibangkitkan pada mesyuarat Kabinet.

“Tidak, tidak, kita tidak akan berbuat demikian, kerana sesetengah Ahli Parlimen masih baharu dan mereka tidak memahami maksud apabila loceng berbunyi dua kali.

“Saya akan menunggu tindakan seterusnya daripada Perdana Menteri,” katanya.

Advertisements