KUANTAN: Kerana tidak mampu bayar bil Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), seorang wanita warga Myanmar yang dalam pantang nekad bawa lari bayi yang baru dilahirkan kira-kira jam 6 petang semalam.

Kejadian jam 6 petang itu disedari jururawat yang bertugas selepas mendapati ibu berkenaan bersama bayinya tiada di katil.

Difahamkan, kos bayaran bersalin bagi warga asing mencecah RM2,500 hingga RM7,000 mengikut kelas wad yang disediakan.

Dimaklumkan setiap bayi yang baru dilahirkan wajib memakai gelang pada tangan dan kaki sebagai tanda untuk pemeriksaan pengawal keselamatan apabila dibenarkan pulang.

Namun, wanita terbabit dipercayai menyembunyikan bayi yang baru dilahirkan di dalam beg sebelum selamba keluar melalui pintu belakang dan melarikan diri.

Sumber berkata, keadaan menjadi kecoh seketika apabila jururawat yang bertugas gagal menemui wanita terbabit bersama bayi berkenaan.

“Pada masa sama, beberapa pesakit lain yang berada di wad berkenaan turut mendakwa tidak menyedari kehilangan wanita terbabit.

“Pengawal keselamatan yang menjaga setiap pintu turut mendakwa tidak menyedari kerana ketika kejadian orang begitu ramai memandangkan ketika itu waktu melawat,” katanya ketika dihubungi, malam tadi.

Dia berkata, wanita terbabit dimasukkan ke wad hospital berkenaan empat hari lalu sebelum bersalin petang semalam.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Senior Asisten Komisioner Othman Nayan, ketika dihubungi, berkata polis sedang menunggu laporan daripada pengurusan HTAA untuk melakukan siasatan lanjut.

Sebelum ini negara pernah gempar dengan kes seorang bayi hilang di sebuah hospital di Kelantan sebelum akhirnya polis dapati ia dilarikan ibu bapanya sendiri yang tidak mampu jelas caj dikenakan.

Advertisements