KUALA LUMPUR – Kerajaan meminta kerjasama semua majikan termasuk sektor swasta untuk memberi kelonggaran kepada pekerja sekiranya anak mereka disahkan menghidap penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata ia bagi membolehkan pekerja bekerja dari rumah atau dibenarkan bercuti untuk menjaga anak berkenaan.

“Saya fikir majikan perlu bertimbang rasa, kalau tidak ibu bapa akan rasa serba salah dan tetap hantar anak ke sekolah atau taska sedangkan anak mereka (perlu) dijaga (kuarantin) di rumah agar wabak ini tidak berterusan merebak,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Hannah turut meminta agar semua pusat beli-belah sentiasa memastikan kebersihan segala kemudahan yang disediakan termasuk troli, untuk membasmi kuman dan mengelak risiko dijangkiti wabak HFMD.

Timbalan menteri itu menasihati orang ramai supaya sentiasa mengambil langkah waspada ketika berada di tempat awam serta mengurangkan aktiviti luar bersama keluarga pada waktu ini.

Wabak HFMD yang sebelum ini menular dalam kalangan pelajar sekolah di Pulau Pinang, Kedah dan Pahang dilaporkan mula merebak ke ibu kota apabila sebuah kelas di Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail 2 di sini diarah tutup dan kesemua 36 muridnya diberi cuti 10 hari selepas empat daripada mereka dijangkiti HFMD.

Mengikut rekod Kementerian Kesihatan, 35,886 kes kumulatif wabak itu direkodkan di seluruh negara dari 1 Jan hingga 23 Julai tahun ini.

Advertisements