KUALA LUMPUR – Kerajaan-kerajaan negeri perlu tampil menawarkan lebih banyak tanah sebagai tapak bagi tujuan membina rumah mampu milik untuk rakyat di negeri masing-masing, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan (KPKT) Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata ketika ini hanya kerajaan Selangor yang telah menyatakan kesediaan untuk menyediakan tanah bagi tapak pembinaan rumah berkenaan.

“Saya mahu letak tanggungjawab (menyediakan tanah) kepada kerajaan negeri sebab mereka juga bertanggungjawab memenuhi permintaan rumah mampu milik di negeri mereka dan memastikan rakyat di negeri mereka ada rumah,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) mengenai langkah diambil dalam mengimbangi permintaan dan penyediaan rumah di seluruh negara pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata berkata kerjasama kerajaan negeri dalam mengenal pasti dan menyediakan tanah yang lengkap dengan infrastruktur awam akan turut membantu mengurangkan kos pembinaan, sekali gus menurunkan harga rumah.

Menjawab soalan asal Mohd Nizar mengenai jaminan serta komitmen KPKT untuk meneruskan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Zuraida berkata kerajaan sentiasa komited dalam menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat dengan menyelaras semua projek perumahan mampu milik di bawah KPKT bagi memudahkan pengurusan.

Terdahulu pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri, Zuraida memberitahu Dewan Rakyat bahawa kementerian itu akan mengambil beberapa inisiatif untuk membantu golongan berpendapatan rendah (B40) memiliki rumah.

Beliau berkata antara langkah yang dikaji ialah kaedah pembinaan secara kos efektif dengan membina rumah kos rendah dalam jumlah yang banyak dan menggunakan teknologi pembinaan Sistem Pembinaan Berindustri (IBS).

“Urusan pinjaman bank juga akan diteliti untuk memudahkan golongan berpendapatan rendah miliki rumah,” katanya.

Advertisements