KUALA LUMPUR: Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd, Masnizam Hisham dilaporkan akan melepaskan jawatannya lebih awal daripada firma berkenaan berikutan kos tinggi bagi projek LRT3, lapor sebuah portal hari ini.

Masnizam yang mengambil alih jawatan itu Januari lalu, mempunyai kontrak selama tiga tahun.

Bagaimanapun, menurut laporan The Edge yang memetik sumber mengatakan peletakan jawatannya “tidak dapat dielakkan” apabila Prasarana meminta dana tambahan sebanyak RM22 bilion dari Putrajaya untuk projek LRT3.

“Beliau dijangka akan meninggalkan pengurusan Prasarana tidak lama lagi. Beliau adalah Ketua Pegawai Eksekutif ketika Prasarana meminta lebih banyak wang (untuk LRT3) dan ia bukan jumlah yang kecil.

Terdapat khabar angin mengatakan bahawa beliau telah diarahkan untuk melakukannya – untuk mendapatkan wang,” sumber dipetik sebagai berkata.

Pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini menyatakan projek LRT3 akan menanggung kos RM9 bilion dan tambahan RM1 bilion untuk pengambilalihan tanah.

Namun, kerajaan baru-baru ini mengumumkan bahawa kos landasan kereta api sepanjang 37 kilometer itu melambung kepada RM31.65 bilion.

Kementerian Pengangkutan menyatakan pengurusan Prasarana mengarahkan spesifikasi LRT melebihi keperluan dan unjuran penumpang.

Baru-baru ini, dilaporkan pelaksanaan projek LRT3 masih dalam persimpangan kerana kerajaan belum memberikan penjelasan secara rasmi kepada rakan pelaksana projek (PDP), MRCB George Kent Sdn Bhd (MRCBGK) berhubung peranan barunya.

Sumber berkata, sejak Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan projek LRT3 akan dikaji semula, MRCBGK tidak boleh memberi apa-apa kenyataan.

Ia susulan laporan terdahulu bahawa beberapa kontraktor projek pengangkutan awam itu menghantar notis kepada MRCBGK yang menuntut kos tambahan yang meningkat berikutan perubahan terhadap reka bentuk dan jadual penyerahan projek.

(MRCB) dan George Kent (M) Bhd yang dilantik oleh Prasarana bagi mengendalikan projek LRT3.

Advertisements