SHAH ALAM: Calon PKR di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis menafikan dakwaan Barisan Nasional (BN) bahawa Pakatan Harapan (PH) gagal memenuhi janji dalam manifesto.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, kerajaan PH sudah mengambil pelbagai inisiatif dan melaksanakan pelbagai program yang memberi tumpuan kepada membantu rakyat Selangor terutama mereka dalam kumpulan B40.

“Saya sendiri terbabit melaksanakan banyak inisiatif kerajaan negeri (untuk meningkatkan status sosio-ekonomi negeri dan masyarakat) sejak 2008.

“Program itu memberi manfaat kepada rakyat Selangor dan masyarakat Melayu.

“Antara inisiatif dan program berkenaan adalah air percuma bagi 20 meter padu pertama kepada isi rumah di Selangor, program tuisyen untuk calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pelbagai bantuan lain untuk memastikan kebajikan golongan kurang berkemampun terbela,” katanya pada sidang media harian di Bilik Gerakan Utama (BGU) PKR di sini, hari ini.

Mohd Zawawi berkata, kerajaan negeri juga sedang berusaha untuk menambah baik program sedia ada untuk kepentingan masyarakat.

“Masih ada ruang untuk penambahbaikan dan kami menilainya untuk memastikan program berkenan dimanfaatkan orang ramai,” katanya.

PRK Sungai Kandis diadakan selepas kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Pertembungan tiga penjuru itu turut membabitkan calon BN, Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas, K Murthy.

Advertisements