PETALING JAYA: Pendidikan seks di sekolah-sekolah tahfiz akan dapat mengurangkan bilangan kes salah laku seks di sekolah-sekolah tersebut, kata pegawai atasan dari Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Ketua Sub-Unit Seksualiti Bahagian Reproduksi Manusia, Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara Dr Hamizah Mohd Hassan berkata bahawa beliau pernah menyarankan kepada Kementerian Pendidikan pada awal tahun ini untuk mengajar subjek tersebut di sekolah-sekolah tahfiz tetapi dimaklumkan kerajaan tidak mempunyai peruntukan yang mencukupi.

“Kita perlukan RM500,000 bagi tujuan mengajar pendidikan seks di sekolah-sekolah tahfiz. Saya pasti sekiranya ada subjek tersebut, kes salah laku seks di sekolah-sekolah tahfiz akan berkurangan,” kata Hamizah.

Beliau berkata demikian hari ini selepas mengambil bahagian sebagai panelis di Forum Pendidikan Malaysia Baru anjuran NGO Projek Dialog.

Hamizah merupakan salah seorang yang berperanan mengungkap modul pengajaran-pembelajaran pendidikan seks yang kini digunakan di sekolah-sekolah kerajaan.

Beliau berkata oleh kerana sekolah-sekolah tahfiz adalah swasta, LPPKN terpaksa mendapatkan peruntukan berasingan bagi sekolah-sekolah tersebut.

Tambahnya lagi, meskipun pihak sekolah-sekolah tahfiz kebanyakannya mengalu-alukan pendidikan seks di sekolah mereka, namun dia juga diberitahu terdapat kekurangan tenaga guru bagi mengajar mata pelajaran tersebut.

Hamizah berkata dengan pertukaran kerajaan, beliau akan sekali lagi menganjurkan pendidikan seks diajar di sekolah-sekolah tahfiz di bawah Projek Dasar Baru Pendidikan yang akan dicadangkan pada suku ketiga tahun ini.

Baru-baru ini, masyarakat dikejutkan dengan pelbagai kes salah laku seks oleh guru di beberapa buah sekolah tahfiz seluruh negara.

Terbaharu merupakan kes di mana seorang guru tahfiz ditahan selepas disyaki melakukan seks oral terhadap pelajar lelaki di sebuah sebuah sekolah tahfiz di Taman Keramat Permai, Hulu Kelang di sini awal bulan ini.

Advertisements