KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu mendedahkan bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menolak tiga tawaran beliau termasuk cadangan bertanding jawatan timbalan presiden parti.

Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno berkata, beliau mencadangkan Khairy bertanding jawatan timbalan presiden selepas Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memutuskan untuk tidak bertanding.

“Akan tetapi beliau beritahu saya yang beliau mahu bertanding untuk jawatan naib presiden sebelum akhirnya bertanding jawatan presiden. Selepas beliau tewas, saya tawarkan jawatan setiausaha agung Barisan Nasional namun beliau tolak,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen di sini, Rabu.

Menurut Ahmad Zahid, bekas menteri belia dan sukan itu juga menolak jawatan ketua penerangan Umno.

“Terpulang kepada beliau untuk menjelaskan (tindakannya) namun beliau mungkin ada perancangan sendiri untuk menghidupkan semula Umno sebagai sebuah parti politik dan juga sebagai pembangkang yang konstruktif,” katanya semasa ditanya mengenai sama ada beliau akan bertemu Khairy selepas beliau dilaporkan berjumpa Tengku Razaleigh Hamzah.

Selain Ahmad Zahid dan Khairy, Tengku Razaleigh juga bertanding untuk jawatan presiden Umno pada pemilhan parti bulan lepas.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, setakat ini beliau masih belum menerima sebarang tawaran rasmi untuk mengisi jawatan pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC). 

“(Jika ada) saya  akan mengadakan rundingan dengan rakan-rakan dalam BN dan parti-parti yang berada dalam blok pembangkang sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, setakat Rabu cuma nama Ahmad Zahid sahaja yang dipertimbang bagi jawatan pengerusi PAC. 

Vui Keong berkata, keputusan berada di tangan Ahmad Zahid sama ada mahu menerima jawatan tersebut atau sebaliknya.

Advertisements