KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mendakwa Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan dipecah-pecahkan dan dibahagikan kepada beberapa kementerian.

Melalui status akaun Twitter miliknya, beliau yang juga Ahli Parlimen Ketereh memaklumkan bahawa MARA akan ‘dibahagi-bahagikan’ membabitkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Kementerian Pembangunan Usahawan (KPU), Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

 

“Diberitakan MARA bakal difaraidkan/dipecah kecilkan dan dibahagi antara KKLW/KPU/KPM/JPM/KEKON.. MARA jadi umpama GHANIMAH (rampasan perang). Jika berlaku, YB Rina akan jaga kulit saja… segala isi dipindahkan,” tulisnya dalam Twitter pada jam 9.50 malam tadi.

Pada 23 Julai lalu, Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Mohd Yusof memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan membuat keputusan mengenai kedudukan MARA kurang daripada tempoh 20 hari.

Mohd Redzuan berkata, secara peribadi beliau mahu MARA diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan walaupun agensi itu itu kini di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

“Namun, kita perlu ingat sejarah MARA yang sebelum ini diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sebelum dibubarkan pada 2009.

“Jadi saya hendak sambung balik agenda dan memperkasakan peranan MARA seperti yang termaktub dalam Akta Parlimen,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan taklimat bersama pengurusan tertinggi MARA, 23 Julai lalu.

Advertisements