KUALA LUMPUR: Penyanyi yang juga cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob berhasrat untuk bersanding buat kali kedua dengan isterinya, Datin Azrene Soraya Abdul Aziz pada 7 November depan.

Fazley, 40, berkata, ia sebagai memenuhi janji terhadap arwah ayahnya yang mahu berkongsi momen indah bersama-sama tetamu yang tidak dapat menghadiri resepsi perkahwinannya dan isteri, 12 tahun lalu.

“Insya-Allah, saya dan isteri berhasrat untuk bersanding buat kali kedua, khusus untuk mereka yang tidak dapat berpeluang menghadiri majlis resepsi kami dahulu.

“Asalnya, kami mahu bersanding semula, tahun lalu, namun tidak manis pula kerana arwah ayah baru setahun meninggal dunia. Kami cuba melaksanakan impian itu pada tahun ini,” katanya.

Hasil perkahwinan mereka, Fazley dan Azrene dikurniakan empat cahaya mata, Ahmad Fariedz Shah, 9; Ahmad Fieradz Shah, 8; Ahmad Firudz Shah, 6; dan Alayna Selma yang kini berusia sembilan bulan.

Sementara itu, Fazley turut berkongsi kegembiraan apabila Restoran Mamanda yang bercirikan Melayu Nusantara mendapat maklum balas positif pengunjung.

Fazley yang memegang jawatan sebagai Cef Eksekutif di restoran yang sudah hampir setahun beroperasi itu bersyukur apabila pengunjung berpuas hati dengan kualiti sajian yang dihidangkan dalam dulang.

“Saya tidak mahu orang ramai melupakan tradisi makan beramai-ramai dalam dulang tembaga. Lebih menarik, pekerja di restoran SukaSucre turut bergilir-gilir bertugas di sini,” katanya mengenai restoran yang beroperasi di Tournament Players Club (TPC), Bukit Kiara itu.

Advertisements