Beliau berkata penolakan orang ramai terhadap Najib pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14) secara tidak langsung membantunya meraih sokongan pengundi pada PRK itu.

“Saya yakin kehadiran bekas perdana menteri itu akan meningkatkan sokongan kepada PKR kerana penolakan pengundi terhadap beliau adalah jelas (pada PRU-14).

“Beliau (Najib) secara tidak langsung memberi kelebihan kepada saya,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PKR di sini hari ini.

Mohd Zawawi juga berkata ahli akar umbi PAS juga memberi jaminan memberi sokongan kepadanya.

“Sesiapa sahaja boleh menyatakan pandangan mereka dalam sistem demokrasi. Ketika bertemu atau menerusi telefon, ahli akar umbi PAS, kebanyakan juga rakan saya dalam kerja dakwah, menyatakan sokongan mereka.

“Mereka juga mahukan calon anak tempatan yang lebih memahami keadaan setempat termasuk isu yang dihadapi penduduk seperti keadaan jalan yang teruk, lampu jalan dan sistem perparitan,” katanya.

Mohd Zawawi mendakwa masalah yang dihadapi penduduk Sungai Kandis itu adalah sejak pentadbiran BN walaupun PKR mengambil alih kerajaan negeri sejak 2008.

Pada PRK itu, Mohd Zawawi ditentang oleh calon BN, Datuk Lokman Noor Adam dan calon bebas, M Krishnasamy.

Hari pengundian ditetapkan pada 4 Ogos ini.

Advertisements