KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan cadangan untuk memasukkan elemen perjuangan komunis dalam buku teks sekolah bukan cadangan kerajaan.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata, cadangan itu dilontarkan pihak lain yang tidak ada kaitan dengan kerajaan.

“Saya tidak tahu. Ada orang lain yang cadang bukan kita. Lagipun, kita belum kaji lagi (cadangan itu),” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai cadangan itu, Perdana Menteri menegaskan, jika dimasukkan dalam buku teks sekolah ia bukan bertujuan untuk mempromosikan fahaman komunis.

Sebaliknya, beliau berkata, ia bertujuan untuk menerangkan kepada pelajar mengenai komunis.

“Bukan (masukkan) perjuangan komunis. Kita kena faham apa itu komunis.

“Kita bukan mahu mempromosikan fahaman komunis. Tidak!. tetapi, kita kena tahu apa dianya komunis? Apa itu kapitalis, demokrasi dan kleptokrasi. Kita kena faham,” katanya.

Beliau mengulas mengenai gesaan pihak tertentu untuk menilai semula buku teks sejarah dengan memasukkan fakta mengenai perjuangan kemerdekaan golongan berhaluan kiri termasuk Parti Komunis Malaya (PKM).

Dalam forum Perlukah Kita Menulis Semula Buku Sejarah? yang berlangsung semalam, seorang aktivis, Fadiah Nadwa Fikri mencadangkan perjuangan puak berhaluan kiri itu adalah fakta yang tidak dimasukkan dalam buku teks.

Fadiah dilaporkan berkata hal ini kerana golongan kiri itu turut sama berjuang untuk kemerdekaan negara.

Advertisements