PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 8 September ini sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, Selangor.

Timbalan Pengerusinya Tan Sri Othman Mahmood berkata, pihaknya turut menetapkan 18 Ogos ini sebagai hari penamaan calon.

Beliau berkata, seramai 62,219 pemilih berdaftar layak mengundi bagi PRK DUN Balakong iaitu mengikut daftar pemilih sehingga suku pertama 2018 yang dikemaskini sehingga 2 Julai lalu.

“Beberapa penambahbaikan akan dilakukan dalam PRK kali ini termasuk waktu mengundi bermula jam 8 pagi hingga 5.30 petang.

“Malah, kami turut menambah saluran kepada pengundi berumur 60 tahun dan ke atas,” katanya dalam sidang akhbar PRK DUN Balakong di sini hari ini.

Katanya, kos perbelanjaan bagi PRK DUN Balakong adalah RM1.5 juta.

Othman berkata, pihaknya menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim pada Jumaat lalu berhubung dengan kekosongan kerusi DUN Balakong.

Menurutnya, pemakluman tersebut ekoran kematian penyandang kerusi DUN berkenaan iaitu mendiang Ng Tien Chee pada 20 Julai lalu akibat kemalangan jalan raya di Kilometer 11.7 Lebuhraya Grand Saga.

Tien Chee terbunuh selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan X-Trail dipandunya merempuh bahagian belakang sebuah lori pencuci jalan menyebabkan mendiang maut serta merta di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.

Pada pilihan raya umum lalu, Tien Chee berjaya mengekalkan kerusi DUN Balakong untuk penggal kedua selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dan Pas dengan majoriti 35,538 undi.

Advertisements