KUALA LUMPUR: Kerajaan menghentikan Program Khas Haji menerusi Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berikutan sumber dana program itu mempunyai kaitan dengan syarikat dalam siasatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mujahid Yusof, berkata ia bermakna kuota 1,200 individu yang menerima surat tawaran menerusi program terbabit bagi menunaikan haji tahun ini terbatal serta-merta.

“Walaupun mereka nak bayar sendiri tapi oleh sebab ia bermula daripada Yayasan 1MDB yang sedang disiasat kerana ada kaitan dengan 1MDB, kita tidak akan teruskan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Maslan (BN-UMNO Pontian) yang memohon pertimbangan kerajaan memberi peluang kepada 1,200 individu yang menerima surat tawaran program haji 1MDB ke Tanah Suci, musim ini.

Mujahid berkata, progam khas itu turut dikatakan mempunyai kepentingan politik apabila pemilihan calon dikemukan oleh Ketua UMNO bahagian.

“Pada 2011, Yayasan 1MDB dibuka untuk imam dan bilal tetapi pada 2013, bilangan mereka diluaskan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang semakin bertambah bilangannya.

“Namun semua nama dikemukakan oleh ketua bahagian UMNO, maka jelas memang ada tujuan politik menggunakan Yayasan 1MDB,” katanya.

Kepada soalan tambahan Datuk Seri Abdul Azeez Abd Rahim (BN-UMNO Baling) supaya dipertimbangkan nasib 1,200 orang yang menerima tawaran itu, Mujahid menegaskan kuota berkenaan adalah ketika Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri.

“Ketika itu, ia adalah kuota Pekan (Najib), itu sifat dia sebagai bekas Perdana Menteri tapi sekarang kerajaan baharu kena buat dasar baharu, bukan ambil daripada Perdana Menteri lalu,” katanya.

Advertisements