KUALA LUMPUR: Dasar Automotif Nasional sedang dikaji semula bagi memastikan industri tersebut kekal kompetitif, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata kajian itu meliputi perkara berkaitan pembangunan industri automotif tempatan termasuk projek kereta nasional yang baharu, pembangunan syarikat tempatan, aktiviti penyelidikan dan pembangunan serta peningkatan eksport.

Katanya, industri automotif negara khususnya melibatkan Proton mengalami kemerosotan dalam tempoh 10 tahun lalu kerana dasar membenarkan kereta dari semua negara masuk ke pasaran Malaysia namun syarat ketat dikenakan ke atas kereta keluaran tempatan yang hendak dipasarkan di luar negara seperti pematuhan emisi karbon Euro 5 dan cukai agrikultur.

“Negara-negara ini mengenakan syarat supaya Proton tidak dapat tembusi pasaran mereka. Negara-negara ini mempunyai kilang yang amat besar dan mengeluarkan berjuta-juta kereta setahun dan mereka juga menyekat kereta masuk ke pasaran mereka,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) di Dewan Rakyat, Isnin.

Ka Siong ingin tahu mengenai perihal projek kereta nasional ketiga dan adakah kerajaan mengambil iktibar daripada masalah yang membelenggu Proton selama ini.

Dr Mahathir menegaskan Proton tidak gagal dan pada satu ketika menguasai 80 peratus pasaran tempatan, mengumpul rizab berjumlah RM4 bilion di samping membina kilangnya menggunakan duit sendiri bernilai RM1.8 bilion.

“Dahulu, Proton berjaya menembusi pasaran Malaysia dan juga pasaran luar negara. Kita dapat menjual 25,000 kereta Proton di United Kingdom dan tempat lain tetapi (akibat) pemerintahan (sebelum ini) kurang cekap, yang tidak tahu berkenaan dengan industri menyebabkan prestasi Proton merosot, kerana kerajaan dahulu membenarkan masuk segala kereta ke Malaysia,” katanya.

Perdana menteri menarik perhatian bahawa Proton hanya dibantu selepas saham syarikat tersebut dijual kepada syarikat asing termasuk diberi bantuan penyelidikan dan pembangunan (R and D) berjumlah RM1 bilion sedangkan syarikat sebelum itu telah lama memohon bantuan kerajaan.

“Janji untuk R and D diberi kepada syarikat-syarikat lain tetapi kepada Proton ia tidak diberi malah Proton terpaksa belanja duit sendiri untuk R and D. Tetapi yang peliknya apabila Proton sudah dijual, wang R and D ini barulah diberi kepada Proton yang dikuasai syarikat asing,” katanya.

Dr Mahathir yakin Proton mampu mencapai kejayaan seperti masa dahulu sekiranya dibantu oleh kerajaan.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan Pakatan Harapan akan melakukan pembaharuan dalam industri automotif negara supaya sektor dan subsektor berkenaan terus berkembang dan mampu mewujudkan kebolehan tinggi di bidang kejuruteraan dalam kalangan rakyat.

Menjawab soalan tambahan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) berhubung sama ada kerajaan bercadang mengenakan syarat bagi kemasukan kereta import ke dalam negara, Dr Mahathir berkata pihaknya sedar tentang amalan dagangan bebas yang tidak menyekat kemasukan barangan menerusi pengenaan cukai yang tinggi.

“Sekarang walau kereta tin milo pun boleh masuk pasaran negara, sebab itu kita perlu kaji kemungkinan ada syarat tertentu, kereta asing tidak boleh masuk dengan mudah dan menguasai pasaran tempatan. Ini kita sedang fikirkan,” katanya.

Berhubung sama ada kerajaan akan mengadakan usaha sama dengan syarikat gergasi automotif luar negara untuk mewujudkan kereta nasional ketiga, Dr Mahathir berkata kerajaan bersedia bekerjasama dengan syarikat luar yang mempunyai kepakaran.

“Tetapi kita perlu berkuasa (pemilikan saham) dan mengambil peranan yang bermakna dalam pengurusan syarikat ini,” katanya.

Advertisements