PETALING JAYA: Kumpulan G25 yang dianggotai bekas penjawat awam terkemuka mendesak Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa meletak jawatan.

Sekretariat G25 berkata, saranan itu dibuat selepas timbul beberapa siri publisiti buruk dan kritikan kepimpinan baharu terhadap perkhidmatan awam negara.

“KSN sepatutnya ambil perhatian terhadap kenyataan keras pemimpin negara dan beliau patut mengaku  bahawa beliau bertanggungjawab bertindak demi kepentingan seluruh perkhidmatan awam dengan meletakkan jawatan.

“Kami dengan ini mendesak KSN mengambil langkah terhormat dengan menawarkan peletakan jawatannya tanpa teragak-agak bagi menyelamatkan perkhidmatan awam daripada terus menanggung malu dan berdepan publisiti buruk.

“Tawaran peletakan jawatannya akan membolehkan perdana menteri membuat keputusan betul terhadap pentadbiran negara,” kata G25 dalam kenyataannya.

Menurut kumpulan ini, semua kakitangan kerajaan akan menghargai tindakan Ali bagi memberi laluan kepada KSN baru mengembalikan semula reputasi perkhidmatan awam.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata terdapat penjawat awam tidak memberi komitmen kepada agenda reformasi kabinet kerana masih setia pada pemimpin lama.

Perkara itu, kata Mahathir, menyebabkan sukar untuk pentadbiran baru mempercayai mereka untuk melaksanakan dasar-dasar pembaharuan yang mahu diperkenalkan kerajaan Pakatan Harapan.

Ali, 63 telah dilantik sebagai KSN pada 2012 dan dijangka bersara pada Ogos ini selepas perkhidmatannya dilanjutkan secara kontrak ketika pentadbiran bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Advertisements