PETALING JAYA: Ketua jabatan di sebuah hospital yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap doktor pelatih telah mengambil cuti bagi tempoh yang tidak pasti.

Menurut sumber pada Selasa, pegawai kanan perubatan itu telah dimaklumkan supaya bercuti susulan laporan media berhubung dakwaan gangguan seksual berkenaan.

Pada Isnin, Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad mengeluarkan kenyataan bahawa kementerian akan menubuhkan Badan Penyiasatan Bebas untuk menyiasat dakwaan gangguan seksual ke atas doktor pelatih oleh seorang ketua jabatan di sebuah hospital di Lembah Klang.

Badan tersebut akan menggabungkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta agensi kerajaan berkaitan untuk tujuan tersebut.

KKM menyeru semua mangsa yang menghadapi kekerasan atau gangguan di tempat kerja sama ada dalam bentuk fizikal, verbal, mental atau seksual untuk membuat laporan terus kepada Menteri Kesihatan di alamat emel drdzul@moh.gov.my

Pada Ahad, dielaporkan kes yang melibatkan gangguan seksual dan buli oleh ketua jabatan ortopedik di sebuah hospital di Lembah Klang.

Advertisements