SHAH ALAM:  Keluarga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin menafikan sekeras-kerasnya laporan media bahawa beliau sedang kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Setiausaha Kanan kepada Shaharuddin, Zafrullah Aris berkata Adun itu sedang berehat setelah menjalani rawatan dan mengikut nasihat doktor, beliau akan bercuti selama sebulan sebelum kembali semula bertugas.

Menurut Zafrullah, Shaharuddin yang juga anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor dan naib presiden PKR telah memaklumkan mengenai perkara itu kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Sehubungan itu, katanya, keluarga Shaharuddin berharap pihak media dan orang ramai dapat menghentikan spekulasi serta khabar angin berkenaan keadaan kesihatan Adun itu.

“Selain itu, saya juga berharap semua pihak dapat menghormati permintaan keluarga beliau supaya dapat memberi ruang untuk beliau berehat.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengesahkan Shaharuddin  kurang sihat dan kini sedang berehat di rumah.

Beliau ketika ditemui media pada Isnin malam mendoakan agar Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Selangor itu segera sihat seperti sedia kala.

“Perkara ini (sakit yang dialami Shaharuddin) tidak mustahil namun beliau perlu menjalani rawatan dan mengikut nasihat doktor. Saya harap kita terus mendoakan beliau agar segera sembuh,” katanya kepada pemberita, di sini malam ini.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata pejabat exco akan memaklumkan kepadanya mengenai tahap kesihatan semasa Adun berkenaan dalam masa terdekat.

Pada Isnin, sebuah portal berita melaporkan Shaharuddin sedang tenat akibat kanser kolon.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Shaharuddin menang kerusi Dewan Undangan Negeri Seri Setia menewaskan calon Barisan Nasional, Yusoff M Haniff dengan 29,250 undi.

Beliau mengalahkan Yusoff yang memperolehi 9,878 undi, calon Pas, Mohd. Ghazali Daud (4,563)  dan calon bebas S. Vigneswaran (217).

Advertisements