KUALA LUMPUR: Kes saman bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadap sebuah syarikat penerbitan akhbar Daily Express dan editornya, James Sarda berhubung penerbitan tiga artikel berkaitan hidangan telur penyu dalam satu majlis di Sabah, akan diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi di sini.

Perkara itu dimaklumkan peguam Samsinaralia Sahar, yang mewakili Ismail Sabri kepada pemberita selepas pengurusan kes di dalam kamar Pesuruhjaya Kehakiman Darryl Goon Siew Chye hari ini yang turut dihadiri peguam Bhag Singh mewakili Sabah Publishing Sdn Bhd dan James sebagai defendan.

Samsinaralia berkata kedua-dua pihak cuba untuk menyelesaikan kes saman itu secara baik dan akan memaklumkan kepada mahkamah mengenai perkara tersebut pada pengurusan kes selanjutnya pada 24 Ogos ini.

Pada 2 April lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Sabah Publishing dan James terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Okt 2017 yang tidak membenarkan permohonan mereka untuk membatalkan saman fitnah difailkan Ismail Sabri.

Ismail Sabri yang memfailkan saman itu pada 30 Mac 2017, mendakwa defendan telah dengan salah dan berniat jahat menerbitkan tiga artikel di akhbar Daily Express bertajuk ‘Minister and Sabah YB have yet to comply: Dept’ bertarikh 24 Jan 2016, ‘Beluran turtle eggs dinner: Findings left to the AG’ pada 3 Sept 2016, dan ‘Explain ‘turtle egg’ confusion first, Lim tells Minister’ pada 6 Sept 2016.

Dalam pernyataan tuntutan, Ismail Sabri juga mendakwa artikel berkenaan diterbitkan dengan sengaja untuk memburukkan dan mencemarkan reputasinya selain mempersendakan kedudukannya sebagai anggota politik.

Ismail Sabri, yang juga anggota Parlimen Bera, Pahang mendakwa artikel itu seolah-olah menunjukkan beliau tidak bertanggungjawab, tidak menghormati Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1967 dan tidak mempedulikan proses siasatan.

Oleh itu, plaintif menuntut defendan memohon maaf selain juga menuntut ganti rugi RM10 juta, ganti rugi teruk dan teladan.

Dalam pernyataan pembelaan, Sabah Publishing dan James, menafikan telah mencetak dan menerbitkan artikel-artikel itu secara salah dan berniat jahat.

Defendan mendakwa bahawa artikel-artikel tersebut yang disiarkan telah diterbitkan dalam keadaan perlindungan bersyarat tanpa niat jahat.

Advertisements