KUALA LUMPUR: Wakil tunggal Malaysia yang ditahan tentera Israel di Penjara Givon, Prof Madya Dr Mohd Afandi Salleh, dilaporkan sihat dan tidak terlibat dipukul atau diseksa dengan renjatan elektrik.

Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCare) Kamarul Zaman Shaharul Anwar, hasil maklumat daripada kru Freedom Flotilla Coalition (FFC), awal pagi tadi.

“Ketika ini proses pengesahan dokumen sedang dilakukan dan beliau dijangka dibebaskan beberapa hari lagi,” katanya. 

Menurutnya, beliau difahamkan, tahanan pada kebiasaannya akan diminta untuk mengaku sama ada memasuki Israel secara haram atau sebaliknya.

“Selepas urusan pengesahan dokumen selesai, tahanan akan dihantar pulang, sama ada ke negara asal atau negara terakhir sebelum ditahan,” jelasnya.

Setakat ini, lima ahli misi telah dibebaskan.

Kamarul dalam kenyataan pagi tadi memaklumkan, aktivis yang menyertai misi ‘Right To A Just Future For Palestine’ ke Gaza menaiki kapal Al-Awda dipukul dan diseksa dengan renjatan elektrik oleh tentera Israel.

Ia susulan keengganan ahli misi memberi kerjasama ketika diminta menghidupkan enjin kapal Al Awda.

Advertisements