KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, menyifatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tidak ‘gentleman’ (budiman) kerana mempertikaikan kemampuannya memegang jawatan itu.

Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata, persoalan mengenai kemampuannya sebagai menteri terlalu awal untuk diperkatakan kerana baru dua bulan memegang jawatan itu.

Katanya, Najib sepatutnya membuat sindiran itu di dalam Dewan Rakyat supaya tuduhan atau persoalan dibangkitkan dapat dijawab secara bersua muka.

“Saya baru dua bulan menjadi Menteri Pertahanan dan belum tiba masa menilai seseorang dalam tempoh singkat itu.

“Tumpuan saya ketika ini adalah terhadap Kementerian Pertahanan dan banyak waktu dihabiskan di situ. Soal menilai (saya), tunggulah dan lihat.

“Komen di luar (Dewan Rakyat) saya tak mahu jawablah, saya nak jawab komen dalam Parlimen. Kalau komen di luar itu orang kata ‘hitting below the belt’ (pukul curi).

“Tak ‘gentleman’ macam itu, marilah komen dalam Dewan Rakyat,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas laporan media mengenai sindiran Najib yang mempertikaikan kredibilitinya sebagai Menteri Pertahanan dengan menyifatkan Mohamad sebagai kartun dan ‘joker’ ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis, baru-baru ini.

Najib yang pernah menjadi Menteri Pertahanan selama 14 tahun, dilaporkan berkata tiada keyakinan terhadap kemampuan Mohamad berdepan rakan sejawatan dari negara lain, termasuk Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat.

Advertisements