KUALA LUMPUR: Seorang pengurus sumber manusia pusat gedung tekstil terkenal, Jakel hari ini didenda RM25,000 oleh Mahkamah Khas Pendatang  Asing Tanpa Izin (Pati) di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) atas pertuduhan mengambil seorang pekerja warga Indonesia tanpa permit sah.

Hakim Wan Mohd  Norisham Wan Yaakob menjatuhi hukuman itu ke atas Kamaruddin Su,  41, selepas dia mengaku bersalah mengambil pekerja wanita Sukiyati, 46, yang tidak memiliki pas yang sah.

Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu di Jakel Mall, 159 Jakel Square, Jalan Munshi Abdullah, di sini pukul 8 malam pada 6 Julai 2017 mengikut Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan maksimum RM50,000 atau dipenjara bagi tempoh tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap seorang yang diambil bekerja.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda. Dia membayar denda berkenaan.

Sebelum menjatuhi hukuman, Hakim Wan Mohd  Norisham menasihatkan tertuduh sebagai wakil syarikat berkenaan agar lebih berhati-hati  dalam mengambil pekerja warga asing.

“Jakel adalah satu syarikat terkenal di Malaysia. Sebagai pegawai pengurus sumber manusia, kamu perlu lebih berhati-hati ketika mengambil pekerja warga asing. Pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah membuat banyak operasi bagi membendung Pati namun jumlahnya tidak berkurang tetapi semakin bertambah.

“Kalau hukuman yang dijatuhkan tidak berat, seolah-olah tidak menakutkan orang. Operasi Imigresen sahaja mengambil kos RM20 juta setahun. Penjara bukan sahaja dipenuhi warga tempatan tetapi dipenuhi dengan warga asing. Hukuman yang dijatuhkan perlu menjadi pengajaran kepada syarikat lain,” kata hakim itu.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda minimum selain memohon maaf atas kesilapan itu.

Pegawai Pendakwa JIM, Mohd Khairul Amri Mohd Zainuddin memohon hukuman berbentuk pengajaran kepada Jakel dan syarikat-syarikat lain agar tidak sewenang-wenangnya mengambil pekerja warga asing tanpa pas yang sah.

Advertisements