KUALA LUMPUR: Selepas lebih 10 jam pencarian, remaja perempuan sindrom down yang dilaporkan hilang ditemui di Menara Kuala Lumpur, semalam.

Mangsa, Putri Nur Qasdina Mohd Zairan, 19, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Danau Kota, di sini, disedari hilang oleh ibunya kira-kira jam 6 pagi semalam selepas didapati tiada di wad ketika menjaga wanita berkenaan yang dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah berkata, mangsa ditemui anggota polis bantuan di Menara Kuala Lumpur kira-kira jam 5 petang semalam.

“Anggota polis bantuan berkenaan kemudian menghubungi pihak polis sebelum mangsa dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi oleh anggota polis peronda.

“Mangsa diserahkan kepada guru sekolahnya kira-kira jam 7 petang semalam,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Pembantu Pengurusan Pelajar SMK Danau Kota, Norasikin Shamsuddin, 34, berkata, dia menerima panggilan daripada pihak polis yang meminta menjemput Putri di IPD Dang Wangi.

“Saya dimaklumkan dia ditemui di Menara Kuala Lumpur. Ketika ditemui, terdapat makanan dan gambar yang diambil di Menara Kuala Lumpur bersamanya.

“Saya bersyukur Putri dalam keadaan selamat dan berterima kasih kepada individu yang prihatin terhadapnya dengan memberikan makanan.

“Putri sudah diserahkan kepada ibunya yang hanya dikenali sebagai Juriah berusia 60-an di HKL,” katanya.

Semalam, dilaporkan Putri menghilangkan diri ketika berada di wad ibunya di HKL kira-kira jam 6 pagi. 

Advertisements