SHAH ALAM: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan dakwaan bahawa pihaknya bertindak menurunkan bahan kempen yang dipasang oleh calon Barisan Nasional (BN) , Datuk Lokman Noor Adam bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN N.49 Sungai Kandis.

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini, Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Haji Mahmood berkata tiada sebarang tindakan penurunan bahan kempen tersebut dibuat oleh Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) seperti didakwa, malah Lokman juga turut menggangotai PPKPR.

“SPR menafikan dakwaan yang dibuat Lokman bahawa SPR telah bertindak menurunkan bahan kempen yang dipasang oleh calon berkenaan kerana dianggap menimbulkan perasaan tidak selesa kepada pihak lain.

“Kami ingin menegaskan bahawa tiada sebarang tindakan penurunan bahan kempen tersebut dibuat oleh Pasukan Penguat kuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) seperti yang didakwa, malah wakil calon parti berkenaan juga turut menganggotai PPKPR yang diwujudkan oleh SPR itu,” katanya.

Lokman terdahulu mempersoalkan tindakan SPR yang didakwa mengarahkan sepanduk kempen parti itu diturunkan hari ini.

Calon BN tersebut dilaporkan berkata pihaknya menerima arahan itu daripada SPR pagi ini atas alasan paparan isi kandungan sepanduk berkenaaan dianggap menimbulkan ‘perasaan tidak selesa’ kepada pihak lain.

Pada PRK DUN Sungai Kandis yang bakal berlangsung 4 Ogos ini, yang pertama diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-14, Lokman Noor akan berdepan dua pencabarnya iaitu calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan calon Bebas, K. Murthy.

PRK tersebut diadakan berikutan kematian penyandang kerusi tersebut, Mat Shuhaimi Shafiei dari PKR akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.

Advertisements