KUALA LUMPUR: Surat yang dihantar oleh bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid, kepada Agensi Risikan Pusat (CIA) adalah hal operasi rutin yang dilakukan oleh agensi perisikan bertujuan mengukuhkan hubungan dan keyakinan dengan negara lain.

Hasanah melalui peguamnya Datuk Shaharudin Ali, berkata surat itu termaktub sebagai rahsia rasmi negara mengikut Akta Rahsia Rasmi 1972 dan tidak seharusnya didedahkan kepada orang ramai kerana membabitkan keselamatan negara.

Beliau berkata, surat itu bukan perkara aneh malah, pertukaran maklumat risikan, latihan dan pertukaran antara CIA dan MEIO adalah rutin bagi memastikan negara mencapai kemampuan risikan yang boleh diharapkan.

“Surat yang dihantar kepada CIA tidak diketahui oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana ia adalah perkara rutin dan hanya membabitkan hal operasi.

“Surat MEIO bertarikh 4 Mei lalu bukan sepucuk surat berbentuk derhaka, malah, pihak yang menyatakan sedemikiam adalah bohong dan tidak masuk akal kerana mandat MEIO adalah menjaga keselamatan negara dan bukan sebaliknya,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, hari ini.

Hasanah berkata, MEIO adalah bahagian perisikan negara barisan hadapan dalam memantau dan menjaga kepentingan strategik serta keselamatan negara.

Katanya, kandungan surat itu dianalisis dan dikaji tidak kurang daripada 10 pegawai kanan MEIO dan dapatannya juga berdasarkan maklumat yang diterima daripada pelbagai sumber MEIO.

“Ini semua adalah rahsia risikan yang tidak boleh dijadikan bahan polemik awam.

“Sehubungan itu, kita memohon pihak polis untuk menjalankan siasatan bagi mencari dalang yang bersubahat membocor dan menghancurkan keyakinan agensi perisikan luar negara dengan MEIO dan hubungan negara ini dengan negara lain,” katanya.

Hasanah juga berkata, sekiranya pendedahan surat itu dilakukan dengan sewenang-wenangnya, maka, sumber akan pupus dan kepercayaan terhadap kemantapan rahsia yang dipegang oleh MEIO akan pudar dan ia secara langsung melemahkam keselamatan negara.

Sebelum ini, media melaporkan Hasanah menandatangani surat tiga halaman bertarikh 4 Mei lalu dan diutuskan kepada Gina Haspel.

Menerusi surat terbabit, MEIO yang beroperasi di sebalik Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri (JPM), didakwa meminta Amerika Syarikat (AS) terus menyokong pentadbiran Najib jika Barisan Nasional (BN) menang mudah atau hanya meraih majoriti satu kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Menerusi surat itu, MIEO menggambarkan Najib sebagai pemimpin progresif dan mesra AS dan akan terus menyokong kehadiran AS di rantau ini.

Tanpa kehadiran Najib sebagai pemimpin negara ini, agensi itu memberi gambaran yang AS bakal kehilangan rakan kongsi yang boleh dipercayai di Asia Tenggara, memandangkan Filipina sudah memutuskan ikatan dengan AS, manakala Singapura dan Brunei terlalu kecil untuk memberi impak, manakala Thailand serta Indonesia pula terlalu sibuk dengan masalah domestik masing-masing.

Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu mengetuai barisan pembangkang pula disifatkan sebagai anti-Barat, anti-Yahudi, autokratik, menutup mulut pengkritik dengan keras dan mengabaikan sama sekali hak asasi manusia serta pemerintahan berdasarkan undang-undang. – BH Online

Advertisements