Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui pimpinan kerajaan Pakatan Harapan kadang-kala tidak berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan sehingga menimbulkan rasa kurang senang sesetengah pihak.

“Saya tidak menafikan ada kenyataan yang melelahkan dan tidak menyenangkan.

“Saya akui PH (Pakatan Harapan) adalah kerajaan baru yang kadang-kala cuai dan celupar sehingga saya terkejut dengan kenyataan dikeluarkan,” katanya ketika ceramah khas sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, malam tadi.

Meskipun tidak menghuraikan lebih lanjut, Anwar dipercayai merujuk beberapa isu kontroversi dan kenyataan pemimpin kerajaan yang dilihat menimbulkan keresahan sejak kebelakangan ini.

Antaranya membabitkan isu bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi, pengiktirafan kepada Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan keputusan Kementerian Pendidikan memberikan peruntukan kepada sekolah menengah persendirian Cina (SMPC).

Bagaimanapun, Anwar berkata beliau percaya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan anggota kabinet ‘tidak lari’ daripada perjuangannya yang asal.

“Ini kita peringatkan, perubahan dan kuasa ini amanah, keadaan silih berganti, saya bukan YB dan tiada jawatan apa pun dalam kerajaan,” katanya.

Anwar menegaskan HARAPAN tetap akan memartabatkan kedudukan Islam dan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tanpa menghalang penguasaan bahasa lain seperti Mandarin dan Tamil.

“HARAPAN akan memartabatkan Islam sebagai agama persekutuan, tiada tolak ansur, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Kita mahu bahasa kebangsaan dikuasai dengan baik oleh semua orang tetapi tidak menghalang peningkatan bahasa lain seperti Mandarin, Tamil dan lain-lain.

“Hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera juga kami akan pertahankan tanpa mengabaikan kaum lain serta mempertahankan raja-raja Melayu seperti yang termaktub dalam perlembagaan,” katanya.

Dalam pada itu , Anwar berseloroh bahawa beliau akan kembali bertanding di kerusi Parlimen.

“Ada kosong di Sungai Kandis, ada kosong di Balakong dan ada kosong di Parlimen sebab saya mahu bertanding,” katanya.

Advertisements