KUALA LUMPUR: Kerajaan menetapkan tempoh lima tahun untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) seperti dijanjikan dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, berkata kerajaan memerlukan masa menghapuskan akta itu dan menggantikannya dengan undang-undang baharu.

“Tempoh itu diperlukan bagi mengkaji dan melakukan rundingan bersama semua pihak berkepentingan.

“Selaras usaha memansuhkan AUKU dan menggantikannya dengan akta baharu, kita memerlukan masa untuk berbincang sebelum mencapai keputusan muktamad,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Idris Jusoh (BN-UMNO Besut) dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Nie Ching berkata, Kementerian Pendidikan menubuhkan jawatankuasa 12 anggota pelbagai latar belakang untuk mengkaji AUKU.

Menjawab soalan tambahan Idris, beliau mengesahkan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menemui Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor universiti awam.

Keadaan di Dewan Rakyat menjadi tegang apabila Idris mendesak Nie Chingmenjawab sama ada beliau mengetahui butiran mesyuarat itu.

Nie Ching menegaskan tidak mengetahuinya berikutan tidak menghadiri pertemuan terbabit.

Idris kemudian bertanya apa perlunya kementerian mengetepikan ahli lembaga pengarah di universiti awam, lalu dijawab Nie Ching ia adalah selari dengan dasar kerajaan sedia ada.

“Pada zaman Barisan Nasional, memang ada lantikan politik dalam universiti tapi sekarang kita di era Malaysia baharu dan nak bawa pemimpin baharu dengan idea segar, jadi apa salahnya?

“Janji PH ialah kita tidak membuat lantikan politik,” katanya.

Advertisements