KUALA LUMPUR: Pembocoran surat Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) dikhuatiri mengancam keselamatan pegawai agensi itu yang berada di seluruh dunia.

Bekas Ketua Pengarahnya, Datuk Hasanah Abdul Hamid, melalui peguam Datuk Shaharudin Ali, berkata MEIO mempunyai 1,000 agensi perisikan yang ditempatkan di seluruh dunia.

“Saya tidak mempunyai kuasa untuk menyatakan berapa banyak pegawai, ejen serta operasi yang dikendalikan MEIO.

“Bagaimanapun, akibat daripada pembocoran surat itu, keyakinan dan semangat ejen perisikan MEIO di seluruh dunia, mula gementar dan was-was dalam menghantar maklumat risikan ke Malaysia kerana takut maklumat mereka juga akan dibocorkan,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, hari ini.

Shaharudin berkata, pembocoran surat itu juga menggugat keselamatan negara ini, malah, menjejaskan kepercayaan dan kredibiliti MEIO.

Katanya, dengan pendedahan dan pembocoran surat MEIO, besar kemungkinan surat agensi lain juga berdepan risiko yang sama.

“Ini adalah tindakan yang menyedarkan semua agensi perisikan di negara ini, sama ada agensi perisikan tentera, cawangan khas atau polis, bahawa tindakan itu tidak boleh dibiarkan,” katanya.

Advertisements