SAN FRANCISCO: Facebook menutup 32 laman dan akaun palsu yang terbabit dalam usaha ‘selaras’ untuk menyemarakkan isu panas menjelang pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat November ini.

Bagaimanapun, ia tidak dapat mengenal pasti sumber walaupun Russia disyaki terbabit.

Ia berkata, akaun ‘pihak bermasalah’ di rangkaian sosial terbesar dunia itu dan Instagram tidak boleh dikaitkan dengan penggodam Russia, yang dikatakan pegawai AS menggunakan platform itu untuk menyebarkan maklumat palsu menjelang pilihan raya presiden AS pada 2016.

Komuniti perisikan AS merumuskan bahawa Russia berusaha menukar undian yang menyebelahi Trump, dan Facebook menjadi alat utama dalam usaha itu, menggunakan iklan disasarkan untuk menambah ketegangan politik dan membenarkan kandungan atas talian yang mengundang perpecahan.

Dengan pemilihan pertengahan penggal 2018 cuma tiga bulan lagi, pengasas Facebook, Mark Zuckerberg, mengumumkan tindakan dilakukan syarikatnya.

“Salah satu keutamaan saya pada 2018 adalah mengelakkan salah guna Facebook.

“Kami mewujudkan perkhidmatan untuk merapatkan hubungan dan saya mahu memastikan kami melakukan sedaya upaya untuk menghalang sesiapa menyalah guna platform ini untuk memecah belahkan kita,” katanya di laman Facebook sendiri. 

Advertisements