KUALA LUMPUR: Perintah berhubung kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan dijangka diwartakan pada bulan ini, kata Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran hari ini.

Menurutnya, perkara itu, yang dijanjikan Pakatan Harapan di dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, akan dikaji setiap dua tahun.

“Kami harapkan menjelang satu penggal pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan, gaji minimum dapat dinaikkan sehingga RM1,500 seperti yang dijanjikan,” katanya.

Jelasnya, Majlis Perundingan Gaji Negara telah selesai menjalankan kajian semula kadar gaji minimum dan syor ini akan dikemukan kepada Kerajaan dalam masa terdekat.

“Pada masa ini, masih terlalu awal untuk melihat impak pelaksanaan gaji minimum.

“Kerajaan yakin selepas kedudukan kewangan semakin pulih, pelbagai inisiatif akan dilakukan untuk menaikkan pendapatan rakyat,” kata Kulasegaran di Dewan Rakyat semasa sesi soal jawab.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) yang bertanya sama ada kementerian itu bercadang melaksanakan gaji minimum RM1,500 pada tahun ini juga.

Advertisements