KUALA LUMPUR: Kelewatan pemberian kelulusan bagi permohonan pertukaran guru yang bertugas di Sabah dan Sarawak yang ingin kembali ke Semenanjung adalah kerana kekurangan permohonan guru untuk bertukar ke dua negeri tersebut.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata, sehingga kini bilangan guru memohon untuk keluar dari Sabah dan Sarawak adalah 5,573 permohonan berbanding yang ingin masuk mengajar di Sarawak dan Sabah hanya 857 permohonan.

“Permohonan mereka tidak dibekukan tetapi dipertimbangkan dan diberi keutamaan kepada mereka yang ingin masuk ke Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) di Dewan Rakyat hari ini.

Tambah Maszlee, antara faktor lain menyebabkan kelewatan kelulusan pertukaran guru adalah kekurangan guru pengganti, khususnya yang melibatkan subjek Pendidikan Islam.

Oleh itu, menurut beliau, tiada arahan pembekuan yang dikeluarkan kementeriannya.

“Kementerian Pendidikan memberi keutamaan kepada pemohon atas alasan untuk mengikuti pasangan, selain turut menimbangkan juga kelulusan bagi kes lain, seperti sakit kronik dan ancaman keselamatan,” kata Maszlee.

Advertisements